Monday, July 30, 2007

parasit ujub dan anak bangsa ku

Hari ini aku agak sibuk sikit dengan persiapan untuk mengajar subjek kaunselor siswa. nama subjek pun kaunselor siswa. (aku pun tak berapa setuju dengan istilah ni) Sebab untuk digelar kaunselor tidak semudah itu, kena ada lesen. Hari ini ramai jugak orang yang 'declair' dia kaunselor. Bukalah akhbar tabloid, ada saja yang dakwa dia kaunselor. Padahal negara kita sudah kuatkuasakan Akta Kaunseling Malaysia. Kaunselor sebenarnya profesion yang setanding doktor, peguam dan jurutera. Tahap profesional. So, aku lebih selesa kalau subjek ni ditukar namanya kepada Pembimbing Rakan Siswa.

Aku juga perlu buat 'preparation' untuk kuliah maghrib di Masjid UMP malam ni. (Aku baca kitab Hikam). Kena pilih mana-mana tajuk yang sesuai dengan tahap pemikiran mahasiswa kejuruteraan. Maklumlah kitab ni kalau tak kena gaya bawak, bikin pusing pendengarnya. Aku pun bukan pandai sangat. Lebih kepada minat saja. Minat aku kepada tasauf ni mula bersemi sebaik saja aku tamat belajar di kat UM dulu.

Sebelah petang pula ada meeting dengan AJK "Kem Kecemerlangan Mahasiswa". Aku dilantik sebagai penasihat program. Suka tengok anak-anak buah bersemangat nak jayakan program ni. Fathulnaim yang dilantik sebagai pengarah program begitu bersemangat, selalu berhubung dan bincang. Dia nampak pening juga bila ada AJK yang hilang, tak tahu perkembangan kerja. Aku yakin mereka ni memang buat kerja tapi maklum sajalah baru-baru nak belajar. Ada yang 'first time' terlibat sebagai AJK dalam program macam ni.

Keputusan peperiksaan sem lepas menunjukkan, daripada 29 pelajar yang mendapat CGPA 2.0 ke bawah, 28 orang adalah anak bangsa ku, hanya seorang dari bangsa india dan tiada seorang pun dari bangsa cina!

Bila aku kenangkan ini semua, tersayat sembilu jugak hati aku.

Mengapakah anak bangsa ku tidak mampu menyaingi bangsa dan (agama lain) setelah setengah abad kita merdeka? Sedangkan Allah sentiasa mengangkat darjat dan memberi semangat kepada kita Bangsa Muslim dalam mafhum firmanNya " Janganlah kamu dukacita dan rasa
rendah diri dan sesungguhnya kamulah yang tertinggi sekiranya kamu benar-benar beriman."

Sesungguhnya Allah telah menetapkan syarat untuk cemerlang dan gemilang. Syaratnya ialah kita hendaklah benar-benar beriman. Keimanan yang mantap akan melahirkan jiwa-jiwa yang bersungguh, kental. Kemudian pastinya akan disusuli nushrah dan rahmat dari Allah Yang Maha Penolong lagi Maha Penyayang.

Soalnya, adakah kita benar-benar tulus beriman kepada Allah? Umat islam wajar sekali celik dan sedar sesungguhnya syarat kegemilangan mesti melalui satu rukun yang paling utama iaitu "keimanan" yang total.

Tanpa syarat ini jangan mimpi kita dapat menyaingi bangsa lain. Inilah yang dibentangkan oleh junjungan besar Rasulullah SAW dalam sirahnya yang terang lagi bersuluh.

Minggu lepas semasa kuliah maghrib aku pilih tajuk 'ujub atau 'ajib. Satu tajuk yang mudah disebut tetapi sukar untuk diamalkan.

Aku yang bagi kuliah tajuk ini pun, sudah tentu tak dapat terlepas dari sifat keji ini. Nauzubiilah min zalik! '

Ujub termasuk amal keji yang berpunca dari rasa hebat diri dan memandang orang lain lekeh belaka. Ujub menyebabkan terhalangnya taufiq dan pemeliharaan Allah taala dan memudahkan seseorang mendapat kecelakaan.

Mafhum firman Allah taala " dan pada hari peperangan Hunain kerana kamu rasa ta'ajjub sebab ramai kamu, maka tiada terkaya daripada kamu akan sesuatu pun"

Ujub juga akan merosakkan amal soleh kita. Menghancurkan semua pahala dan yang lebih parah memadamkan cahaya mata hati kita. Cahaya musyahadah dengan Allah tiada tara harganya. Cahaya rasa Allah sentiasa bersama kita. Cahaya rasa Allah sentiasa berada di mana sahaja. Cahaya rasa di mana sahaja kita hadap di situ ada 'wajah' Allah.

Bila ujub menguasai nafsu, maka nikmat rasa dekat dan hampir dengan Allah ini akan direntap tanpa kita menyedarinya. Inilah yang sangat ditakuti oleh ahli makrifah.

Saidatina Aisyah RA ketika ditanya seseorang "Bilakah saya boleh mengetahui diri saya berada dalam kebaikan?" Jawab Aisyah RA "Bila kamu rasa kamu belum baik." Lalu orang itu bertanya lagi "Bilakah saya boleh mengetahui diri saya berada dalam kejahatan?" Jawab Aisyah RA "Bila kamu rasa kamu sudah baik." Ketahuilah bahawasanya ujub itu menganggap agung dan hebat atas amal yang kita lakukan. Rasa ilmu yang ada adalah hasil usaha sendiri. Hati berbisik " di kampung aku ini akulah yang paling berilmu, paling soleh, paling banyak beramal."

Imam Al Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin menyatakan "Ujub itu takabbur, yakni membesarkan diri hasil dari dalam hati dengan sebab disangka akan dirinya mempunyai sifat kesempurnaan ilmu dan amal dan dirasakan itu semua diperolehi hasil usahanya sendiri atau pertolongan orang lain bukan dari Allah taala.

Ternyata hama ujub ini sangat bahaya bisa sahaja menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal taraf dan kedudukan. Maka sewajarnya kita yang serba kekurangan ini berusaha bersungguh-sungguh untuk menjauhi penyakit ini. Janganlah kita mengira-ngira amal yang kita sudah lakukan, lupakan kebaikan yang kita telah berikan. Marilah kita menekuni, muhasabah diri apakah parasit dan hama ujub ini masih membarah di hati ini?

Benarlah doa ahli-ahli sufi yang sangat ringkas tetapi padat dengan ketulusan!

"Ilahi anta maqsudi waridhaka mathlubi... amin ya Rabbal 'alamin"

blog dan keazaman baru









Pertama kali menjengah blog sendiri aku rasa agak kaku. Aku diajar anak murid sendiri bagaimana nak operasi blog aku ini. Minat nak ada blog sendiri dah lama. Tapi tertangguh-tangguh.

Semangat mula membara. Membara kerana dorongan persekitaran dan teman-teman. Aku tak pasti ada kebolehan atau tidak. Dan selama ini pun aku tak pernah minta kepastian orang lain. Teman-teman kata "Kau bedal aje. Kau punya blog kau punya suka. Kan negara kita Malaysia tercinta adalah negara demokrasi. Kau boleh punya."

Juga mafhum hadith yang bermaksud "Sampaikan dari ku walau satu ayat." Dorongan Junjungan Besar ini juga telah memberi dorongan yang kuat bagi aku untuk berkarya di blog ini.

Aku berazam untuk terus istiqamah (satu cabaran). Memang tak mudah, sebab aku pernah tengok blog teman-teman pada mulanya berapi-api tapi mula malap dan akhirnya padam. Memang aku akui untuk istiqamah perlu ada kekuatan dan kecekalan. Kecekalan anugerah Ilahi. Bertuah siapa yang memperolehinya. Blog aku ni pulak, apa pula nasibnya ya?:) Allah Lebih Mengetahui!

Harapan aku nak jadikan blog ini menarik dan sehebat blog siapa? Malaysia Today? Ustaz Zaharudin? SaifulIslam? Atau siapa lagi?

Yang pastinya aku akan bawa satu pendekatan tersendiri dari citra sendiri...

Aku sendiri begitu teruja dengan elemen kaunseling, sufi dan politik semasa. Elemen ini cukup kuat melatari hidup ku mungkin kerana latar pendidikan aku selama ini.

Alhamdulillah, aku diberi peluang untuk menyambung pengajian di Universiti Malaya dan Universiti Putra Malaysia. Aku memperolehi ijazah di Fakulti Syariah, Politik dan Pentadbiran di UM, kemudian menyambung ke peringkat Master Kaunseling Industri di UPM dan sekarang kembali semula ke UM untuk menyiapkan PhD Tasauf di Universiti Malaya.

Aku akan menfaat sebaiknya blog ini untuk berkongsi dengan teman-teman dan ia akan menjadi wadah perkongsian idea, ilmu serta maklumat yang berfaedah untuk kita semua. Insyaallah..

Fann atau seni dalam dakwah tidak terus dapat sesegera mee segera. Aku perlu banyak belajar terutama dengan anak murid aku yang sorang ni.

Dia dah lama ada blog, aku baru nak start...

Allahumma nawwir qulubana binuri hidayatik...

kama nawwartal ardha binuri syamsik... ya Rabbal 'alamin