Monday, August 06, 2007

al ma'thurat mengetuk qalbu

Perjalanan dari rumah Sungai Isap ke UMP ambik masa hampir 20 minit jugak. Aku penuhi sepanjang perjalanan dengan membaca Al Ma'thurat. Al Ma'thurat adalah susunan zikir yang disusun oleh Imam Banna. Beliau merujuk dari himpunan zikir Imam Nawawi (Al Azkar). Al Ma'thurat ini adalah zikir-zikir yang diambil dari hadith yang sohih. Tidak ada keraguan sedikit pun untuk beramal dengannya.










Pengalaman beramal dengan zikir Al Ma'thurat ini, terasa agak luar biasa. Elok juga jika dikongsi bersama teman-teman. Untuk mendapat keberkesanan beramal dengan Al Ma'thurat ini bukan semudah disangka. Bukan sekadar baca tetapi pemikiran dan rasa hati tidak fokus. Penyakit "asal baca" tidak akan membuah hasil yang diharapkan.

Ada kaedah bacaan dalam beramal dengan Al Ma'thurat ini supaya akan lahir berbagai rasa dan zauk kurniaan Allah taala.

Pertama istiqamah dalam beramal dengannya.
Kedua hayati benar-benar maksudnya.
Ketiga rasakan bacaan itu adalah belaian dari Allah taala.
Keempat bacalah dengan tartil jangan gopoh gapah.
Kelima ikhlas semata-mata untuk dapat redha Allah taala.

Apabila syarat di atas dapat dipenuhi dan diamalkan, insyaallah semasa kita membaca ayat-ayat Allah itu akan ada ayat-ayat tertentu yang akan menyentuh rasa hati kita. Pelbagai rasa akan lahir dari ayat yang berbeza. Mungkin rasa yang akan dapat menyentuh hati itu seperti rasa rindu yang teramat kepada Allah, mungkin rasa keinsafan yang mendalam, mungkin juga rasa lemah kerdil dan hina diri. Pelbagai rasa akan Allah kurniakan kepada kita. Insyaallah.

Rasa itu bukan dibuat-buat, malah itu semua adalah kurnia dari Allah taala jua.Tentunya sebak didada, pilu, hiba dari rasa yang datang tiba-tiba. Malah air mata akan mengalir dan sukar untuk diempang. Cukup luar biasa rasanya. Demikianlah mukjizat Al Quran yang Maha Agung. Cukup sukar untuk kita bongkar rahsia yang tersimpan di dalamnya.

Begitulah cara Allah mentarbiah hambaNya. Tarbiah secara terus. Dia yang menurunkan ayat untuk diamalkan dan Dia jugalah yang mengubat jiwa hambaNya. Betapa kasih dan sayangnya Ar Rahman dan Ar Rahim kepada kita.

Teringat salah satu ayat dalam Al Ma'thurat iaitu Sayyidul Istighfar yang bermaksud:

"Allahumma, Engkaulah Tuhan ku, tidak ada Tuhan selain Engkau, Engkaulah yang menjadikan aku dan akulah hamba Mu, dan aku sebenarnya berada dalam perjanjian dengan Mu dan aku dengan segala upaya, akan mematuhi perintah Mu, dan aku mohon perlindungan pada Mu dari segala kejahatan apa-apa yang telah aku lakukan.

"Aku mengakui dengan sebenar-benarnya nikmat yang Engkau berikan kepada ku dan aku mengakui dosa-dosa yang aku lakukan. Maka ya Allah, ampunilah segala dosa- dosa ku, kerana tidak ada sesiapa pun yang boleh mengampuni dosa-dosa ku kecuali Engkau saja Ya Allah. Amin ya Rabbal alamin"

Alangkah tulus dan sucinya kata-kata ini. Ianya lahir dari hati yang benar-benar ikhlas dengan penuh keinsafan merendah diri. Rasa betapa kerdilnya diri dan mengharapkan keampunan dari Allah pencipta kita, Tuhan sekelian alam.